penubuhan

Pengawalan ke atas penggunaan benda-benda radioaktif telah dijalankan sejak tahun 1968 lagi apabila Parlimen meluluskan Akta Benda-benda Radioaktif 1968. Memandangkan perkembangan aktiviti tenaga atom yang pesat di Malaysia, kawalan yang lebih berkesan diperlukan. Oleh itu pada April 1984 Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Selaras dengan kehendak Seksyen 5, Akta 304, sebuah Jabatan yang dinamakan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah ditubuhkan pada 1 Februari 1985 dan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertindak sebagai sebuah badan penguatkuasa ke atas Akta 304 dan perundangan-perundangan subsidiari yang dibuat di bawah akta tersebut. Pada 27 Oktober 1990 Jabatan ini telah diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dam Inovasi. Melalui surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam [JPA.(S).700-2/1/1Jld.3(30)] bertarikh 9 Jun 2022, Jabatan ini telah dinamakan sebagai Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia).

Bangunan-Atom

Objektif

Untuk memastikan penggunaan tenaga atom adalah selamat, terjamin dan dikawalguna demi melindungi masyarakat, pekerja dan alam sekitar.

Dasar Kualiti

Kami komited:

Untuk memberikan perkhidmatan permohonan lesen dan penguatkuasaan Akta 304 yang berkualiti bagi memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan; dan Mematuhi keperluan Sistem Kualiti melalui penambahbaikan berterusan tanpa mengabaikan peruntukkan Akta 304

Misi

Mengawal selia penggunaan tenaga atom secara efektif berlandaskan standard dan amalan terbaik antarabangsa demi kemakmuran rakyat dan negara.

Visi

Badan kawal selia yang diiktiraf dan diyakini di peringkat antarabangsa dalam pengawalseliaan aktiviti tenaga atom.

Objektif Kualiti

  1. Memproses permohonan lesen tidak melebihi tempoh yang dinyatakan dalam Piagam Pelanggan.
  2. Melakukan pemeriksaan di premis pemegang lesen sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sah lesen.
  3. Memberi maklum balas terhadap aduan pelanggan dalam masa tiga (3) hari bekerja.
  4. Merancang dan melaksana latihan sekurang-kurangnya tujuh hari setahun atau dua kali kursus setahun bagi setiap kakitangan

Pihak pengurusan juga akan menentukan bahawa dasar dan objektif kualiti ini difahami oleh setiap kakitangan Atom Malaysia.

Fungsi

Fungsi-fungsi Atom Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Mengawal selia serta mengawasi aktiviti penggunaan tenaga atom dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya.
  2. Menubuhkan, menyenggara dan mengembangkan kerjasama saintifik dengan mana-mana badan, institusi atau organisasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berhubung dengan perkara-perkara nuklear atau tenaga atom, sebagaimana difikirkan sesuai oleh Ketua Pengarah bagi maksud Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.
  3. Melaksanakan atau memperuntukkan bagi pelaksanaan obligasi yang terbit daripada mana-mana perjanjian, konvensyen atau triti antarabangsa berkaitan perkara-perkara nuklear atau tenaga atom yang mana Malaysia menjadi suatu pihak, sebagaimana diarahkan oleh Kerajaan Malaysia dan selaras dengan maksud Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.